Skip to main content

Hantaran tinggi cetus rasa riak

Hantaran tinggi cetus rasa riak
Dr. Nik Safiah Karim.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE 13/5/07

MukadimahMenyebut perkataan kahwin memang mudah. Namun, proses persediaan ke arah mendirikan rumah tangga tidak semudah ia disebut. Selepas proses meminang gadis yang diminati, timbul pula soal wang hantaran. Jika bernasib baik, jumlahnya berpatutan. Jika sebaliknya, ia mungkin mencecah lima angka.

Malah, ada ibu bapa yang seperti ‘berlumba-lumba’ meletakkan harga wang hantaran anak perempuan mereka.
Inilah yang menggerunkan sesetengah lelaki untuk mendirikan ‘masjid’ sedangkan keinginan untuk berkahwin amat tinggi. Sedangkan wanita yang solehah itu adalah sebaik-baik harta benda. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w., Dunia itu harta benda dan sebaik-baik harta benda dunia ialah perempuan yang solehah. (Riwayat Muslim).
Bagi mendapatkan pandangan dari sudut agama, wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Selangor, Aluwi Parman di pejabatnya di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam, Jumaat lalu bagi mengupas isu hantaran perkahwinan yang tinggi ini.
Dan untuk mewakili wanita pula, pada hari yang sama wartawan SADATUL MAHIRAN ROSLI menemu bual Prof. Datuk Dr. Nik Safiah Karim. Beliau ialah Ketua Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) merangkap Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM).
Hasil temu bual berkenaan, mereka sependapat bahawa hantaran tinggi ini boleh menimbulkan rasa riak atau takbur yang sudah bertentangan dengan Islam. Bagi mereka, perkahwinan perlu mengambil kira kemampuan seseorang, bukan bertujuan menunjuk-nunjuk ‘anak siapa lebih mahal’. Apa yang membimbangkan, akibat hantaran tinggi akhirnya pasangan berkenaan menanggung hutang selepas beranak-pinak.

MINGGUAN: Wang hantaran yang tinggi seolah-olah menjadi trend sehingga ada lelaki yang sanggup meminjam dan menanggung hutang bagi memenuhi kehendak keluarga wanita. Adakah tindakan ini wajar?

DR. NIK SAFIAH: Wang hantaran merupakan satu aspek budaya masyarakat Melayu yang telah diamalkan dalam majlis perkahwinan. Ia adalah pemberian ikhlas pihak lelaki kepada wanita yang ingin dikahwini. Namun budaya itu telah disalahgunakan sehingga menyusahkan lelaki. Hantaran tinggi telah menjadi trend untuk menunjuk-nunjuk bahawa lelaki mampu dan dari keluarga berada serta berjaya menawan hati perempuan yang mempunyai peminat ramai. Kadangkala pihak perempuan yang meminta manakala lelaki malu menolak untuk menjaga maruah. Apabila yang diminta terlalu tinggi sehingga tidak termampu, maka berlakulah pinjam-meminjam dan bergolok bergadai.
Sebaik-baiknya perkahwinan itu dimulakan dengan keadaan yang baik tanpa masalah kewangan yang boleh membawa kepada kemudaratan sehingga merosakkan keharmonian rumah tangga. Pada saya, wang hantaran tinggi bukan perkara yang membanggakan tetapi menyusahkan. Pada saya, adalah manis jika hikmah yang dipraktikkan oleh masyarakat dahulu diguna pakai iaitu pemberian itu bagi menunjukkan penghargaan pihak lelaki kepada perempuan. Gejala ini harus ditangani kerana ia mempunyai lebih banyak kesan negatif daripada positif.
Adakah isu ini merupakan punca utama peningkatan golongan membujang?

DR. NIK SAFIAH: Itu sudah pasti, tetapi kesan jangka panjang yang mungkin berlaku ialah kaum lelaki akan ragu-ragu mengambil langkah meminang dan mendirikan rumah tangga. Maka ramailah pasangan lelaki dan perempuan yang hanya berkawan tanpa ikatan perkahwinan. Perkara ini tidak akan membawa kesan yang baik pada masyarakat kita.
Apakah kesan akibat penentuan jumlah wang hantaran yang tinggi ini?

DR. NIK SAFIAH: Antaranya kesan ekonomi. Bagi yang mampu, ini tidak membebankan tetapi apabila diikuti oleh pihak yang tidak mempunyai kewangan yang kukuh, maka ini memberi kesan bukan sahaja kewangan pihak lelaki malah ekonomi negara kerana bakal melahirkan ramai pemiutang.

Kedua, dari segi agama iaitu perasaan riak dan hendak menunjuk-nunjuk. Kita perlu menjadi masyarakat yang sederhana. Bagi yang ada duit dan membuat kenduri besar, lebih baik membuat ibadah iaitu bersedekah duit itu kepada rumah kebajikan.

Ketiga, dalam jangka masa panjang, bilangan yang hendak berkahwin akan berkurangan, sekali gus meningkatkan bilangan gadis dan teruna yang membujang. Dalam keadaan ini mereka terus bersahabat tanpa perkahwinan dan akan membawa kepada gejala sosial seperti bersekedudukan dan berzina.

Keempat, bebanan hantaran melewatkan tarikh perkahwinan kerana terpaksa menyimpan wang yang banyak. Apabila kahwin lewat, anak pun sedikit.
Kelima, kahwin lari akan bertambah.
Jelaslah, hantaran tinggi tidak patut digalakkan kerana bakal meruntuhkan institusi perkahwinan.

Siapakah yang selalunya menentukan jumlah wang hantaran?
DR. NIK SAFIAH: Kadangkala bukan pasangan yang menentukan tetapi ibu bapa dan saudara-mara. Saya harap saudara-mara tidak campur tangan. Bagi saya wang hantaran itu hanyalah sebagai ukuran. Katalah wanita itu siswazah dan bakal suaminya siswazah, maka kerana taraf kelulusan dan pekerjaan yang baik, hantaran tinggi. Ini bukan cara terbaik. Permintaan perempuan biarlah berpatutan.
Saya ingin menekankan kepentingan perbincangan antara pasangan, perlu ada persefahaman antara keluarga. Kadang-kadang satu pihak sengaja hendak meninggikan harga itu iaitu pihak lelaki. Kita berharap kesederhanaan pada kedua-dua pihak.
Apakah faktor dalam menetapkan hantaran?

DR. NIK SAFIAH: Bergantung kepada kedudukan kedua-dua pihak. Bagi pihak perempuan mungkin kelulusan manakala pihak lelaki pula kemampuannya. Yang lain ialah kerelaan hati, berapa banyak pihak lelaki sanggup memberi tetapi janganlah terlalu murah hati. Selain itu, kedudukan keluarga itu dalam masyarakat. Misalnya hendak pergi meminang itu anak pak imam, anak guru besar, jumlahnya mungkin lain bagi menghormati kedudukan bapa perempuan dalam masyarakat.
Dalam pada itu, perbandingan dengan pihak-pihak lain jangan dijadikan faktor.
Jika dilihat keadaan ekonomi dan kos perbelanjaan perkahwinan yang semakin tinggi, apakah kadar minimum wang hantaran?

DR. NIK SAFIAH: Saya berpendapat antara RM5,000 hingga RM10,000, bergantung kepada latar belakang pihak berkenaan. Jika lebih daripada RM10,000 itu agak banyak dan tinggi kerana wang hantaran itu hanya sebahagian daripada persiapan perkahwinan itu. Ini belum termasuk barang hantaran seperti barang kemas, hadiah-hadiah seperti sepersalinan pakaian, alat solek, set dandanan diri, jam dan telefon bimbit yang harus diberi oleh pihak lelaki. Ini bermakna lelaki bukan sekadar terpaksa menyediakan wang hantaran, tetapi barangan lain yang jumlahnya mencecah ribuan ringgit.
Daripada mengadakan majlis kenduri yang besar-besar, apa salahnya wang itu diberikan kepada pihak pengantin untuk memulakan rumah tangga seperti membeli perabot dan menyewa rumah.
Adakah budaya pemberian wang hantaran ini boleh dihapuskan?

DR. NIK SAFIAH: Sebenarnya wang hantaran merupakan unsur budaya yang waktu dahulu ada hikmahnya. Namun untuk menghapuskan bukan mudah terutama di kalangan orang tua dan keluarga perempuan yang berpegang kuat pada budaya itu. Apa yang boleh kita lakukan ialah menunjukkan aspek keburukan ini dan melalui pendidikan. Kita mahu melahirkan generasi yang mempunyai perspektif lebih sihat. Kita juga tidak mahu menghapuskan unsur budaya yang pada asasnya mempunyai gejala baik iaitu sebagai hadiah dan tanda kasih sayang kepada isteri dan kalau perlu gunakan untuk kebaikan pasangan yang berkahwin.
Adakah mungkin, disebabkan hantaran tinggi lelaki akan memilih wanita negara lain yang tidak memerlukan wang hantaran yang tinggi?

DR. NIK SAFIAH: Ia mungkin berlaku, bukan sahaja di negara ini tetapi juga di negara Asia Barat di mana hantarannya terlalu tinggi. Mereka lebih senang mencari wanita dari luar. Perkara ini mungkin berlaku di Malaysia sekiranya isu ini tidak dibendung. Saya risau jika perkara ini benar-benar berlaku, maka banyak kesan negatif yang harus ditanggung oleh masyarakat. Apabila seseorang berkahwin dengan bangsa lain, maka budaya turut berubah. Begitu juga yang berkahwin dengan yang tidak seagama, mungkin menimbulkan masalah penerapan nilai-nilai agama dalam diri pasangannya.
Terdapat fenomena segelintir umat Islam mencari angka tertentu dalam menentukan jumlah wang hantaran kononnya mempunyai tuah.

DR. NIK SAFIAH: Perkahwinan ini perkara yang serius dan harus dilalui dengan perasaan khusyuk. Walaupun cantik beberapa angka dan membawa pengertian khusus bagi pasangan seperti tarikh lahir dan sebagainya, saya rasa pemilihan berdasarkan itu tidak sesuai dan kadangkala menyusahkan untuk menyebutnya semasa akad nikah. Sebenarnya kita tidak ada budaya mempercayai angka boleh membawa tuah melainkan budaya Cina yang mempercayai angka boleh membawa kerahmatan kepada mereka.
Adakah wajar beban wang hantaran yang tinggi itu dikongsi bersama dengan ahli keluarga supaya pihak lelaki tidak malu?

DR. NIK SAFIAH: Kalau perempuan sedar bahawa pihak lelaki tidak begitu mampu, janganlah minta terlalu banyak. Tetapi kalau keluarga sanggup membantu, eloklah daripada dia meminjam dari sumber yang tidak begitu sesuai. Tetapi adalah lebih penting tidak membebankan keluarga.
Sudah sampai masanya keadaan yang bersesuaian dicari untuk memudahkan perkahwinan ini. Mungkin Prof. ada cadangan.

DR. NIK SAFIAH: Pertamanya seseorang lelaki yang hendak mendirikan rumah tangga mesti membuat persiapan. Jika tidak bekerja, carilah pekerjaan. Kalau sudah bekerja, mula dari awal menyimpan duit dan jangan membebankan ibu bapa. Lainlah ibu bapa orang senang dan merupakan anak tunggal.
Setelah bersedia ingin berkahwin, adakan perbincangan antara pihak lelaki dan perempuan supaya pihak perempuan mendapat tahu keupayaan pihak lelaki dalam soal hantaran. Saya juga berharap wang hantaran jangan digunakan semata-mata sebagai perbelanjaan untuk kenduri besar. Dalam hal ini soal berjimat cermat perlu dititikberatkan. Kesederhanaan dan keinsafan sebagai orang Islam yang soleh harus diterapkan, jangan sekali-kali meniru apa yang dibuat oleh jiran dan artis.
Bagaimana pendapat Prof. supaya wang hantaran dijadikan mas kahwin bagi mengelakkan wang tersebut dibelanjakan untuk kenduri?

DR. NIK SAFIAH: Susah. Mas kahwin itu wajib dan hak perempuan. Wang hantaran sebagai mas kahwin itu boleh dijadikan cadangan tetapi hakikatnya, pemberian wang itu merupakan unsur budaya dan telah menjadi amalan akan digunakan untuk perbelanjaan kenduri dan membeli perkakas perkahwinan.
Apa yang boleh dilakukan ialah berkempen untuk mengurangkan jumlah wang hantaran atau diberikan kepada pasangan memulakan kehidupan baru.
Bagaimana untuk menerapkan kesedaran keburukan pemberian wang hantaran yang tinggi?

DR. NIK SAFIAH: Saya rasa aspek ini perlu dibincangkan dalam kursus perkahwinan atau diselitkan dalam salah satu mata pelajaran di sekolah-sekolah menengah secara tidak langsung. Begitu juga semasa khutbah dan ceramah-ceramah agama.
PIKIR-PIKIRKAN LAH..

Comments

  1. kesian my habib..huhu..but i am not more ~10K...pity to other who is more than that..hehe

    ReplyDelete

Post a Comment

Comment

Popular posts from this blog

Tahun 2021 pun dah hampir habis.

 Assalamualaikum. Rasanya lama dah tak menulis dalam blog ni.hampir 4 tahun. Blog ni memang temanya campur2 lebih kepada penulisan apa yang berlaku dalam kehidupan seharian. Kebelakangan agak jarang jari ni menulis. aku bukanlah blogger yang menulis untuk dapatkan pendapatan semata. tujuan aku menulis dulu banyak mengenai luahan hati aku sendiri. Aku kadang rasa blog ni macam diari aku kot. sebab banyak juga luahan hati dan perasaan dituliskan di dalam blog ini. blog ni usia dia dah lebih 10 tahun pun. dan aku pun jarang menulis. rasa takda siapa yang masih baca pun.  dan hari ini tergerak rasa nak menulis . ok nanti sambung...saja nak start engine.Sebab dah mula bosan dengan social media yang ada sekarang ni. aku rasa nak beralih semula kepada blog. sekian.

Apa dia blog?

Salam semua, Aku 'just' nak 'share' info dan bercerita sikit pasal topik ni dengan bloggers semua dan kawan-kawan yang berjinak2 nak mem'blogging'kan diri. Harap info ni berguna dan dapat membuka minda masing-masing. Setelah sekian lama baru aku terfikir apa dia blog ni?Lalu aku pun merajinkan diri mencari makna disebaliknya.(mcm buat research la..hehe) Aku tak pasti samada semua tahu dan paham dengan blog. Mungkin post kali ni agak bosan untuk dibaca dan kemungkinan besar takkan dibaca oleh sesiapa. Tapi aku harap 'bebelan' ini bermanfaat untuk semua.:).. Dah berapa hari xpost apa2 dan aku tiba2 terfikir nak post pasal topik ni.ok,mari kita mulakan..:) ......................................................................................................................................................................... Definisi : Blog adalah sejenis laman web yang dikendalikan sama ada individu, sekumpulan orang atau kadangkala organisasi untuk tujuan...

Check list keperluan ibu dan baby( newborns)

picture taken from here http://babyproductreviewszone.com/tag/free-baby-stuff/  Assalamualaikum semua... I ni semua checklist yang saya cedok daripada beberapa blog untuk ingatan dan tatapan diri sendiri.Juga boleh jadi reference untuk orang lain :) Senarai yang perlu dibawa oleh bapa / suami (PENTING) 1. GL @ surat jaminan majikan@ kad insurans* 2. Kad merah ibu mengandung* 3. Kad pengenalan ibu dan bapa* 4. Duit* 5. Rekod kesihatan* Keperluan bayi di hospital(PENTING) 1. Selimut dan tuala untuk bayi* 2. Beberapa helai kain lampin dan sapu tangan* 3. Beberapa helai pampers* 4. 3 - 4 helai pakaian baby* 5. Beberapa pasang sarung tangan dan kaki/mitten and booties* 6. topi baby / cover kepala baby* 7. Bedung/barut baby* 8. Alatan mandian baby* 9. Wet tissue- untuk lap baby* 10.Minyak telon* 11.Baby dipers * *Keperluan ibu/mama di hospital ( PENTING) 1. Tuala 2. Barang mandian ( berus gigi ,ubat gigi, pencuci muka, beda...